TeamOmbakbiru.Blogspot.com
this site the web

TRIP KE TAKAT KARANG-KARANG ATAS

Pengenalan.
Trip Penulis kali ini merupakan trip bersama otai-otai berbisa yang sangat mahir tentang teknik pancing dasar untuk menduga takat Karang-karang Atas .Takat Karang-karang Atas merupakan gugusan  batu karang di antara Pulau Tiga dan Pulau Mangalum yang mempunyai kedalaman 70 hingga 140 meter berdasarkan GPS. Pengalaman mereka dari gigi rapat sehingga tiada gigi membuatkan otai-otai ini sangat mahir tentang teknik-teknik mencari ikan sasaran dengan menggunakan umpan basung, malah mereka sentiasa bersaing sesama sendiri untuk membuktikan siapa yang lebih hebat. Penulis dan beberapa orang rakan sebaya dan seperjuangan hanya mendengar pengalaman otai-otai ini bila mereka menceritakan tentang pengalaman mereka menduga lautan.Maklumlah ilmu memancing kami hanya umpama gigi baru tumbuh dan belum rumpang lagi.

 Trip.
Biasanya untuk trip laut dalam, penulis lebih suka untuk menganjurkan sendiri trip bersama-sama rakan sebaya. Namun setelah hampir tiga tahun tidak menganjurkan trip, rasanya macam sangat sukar untuk mengumpulkan rakan-rakan lama yang tinggal berjauhan. Namun peluang untuk ke laut dalam sentiasa terbuka kerana penulis mempunyai ramai rakan-rakan yang suka menganjurkan trip. Trip kali ini merupakan anjuran Hj Muluk, Pengerusi Persatuan Nelayan Teluk Villa, Putatan. 

Beliau seorang yang tegas dan aktif dalam persatuan  malah sentiasa menganjurkan trip ke laut dalam untuk ahli persatuan. Umpama pisang panas, itulah yang boleh penulis katakan bila ada anjuran trip oleh beliau. Ahli persatuan akan terus membooking tempat dan kali ini penulis berpeluang untuk turut serta dalam trip 4 hari 3 malam ini.
Untuk trip 4 hari 3 malam ke Takat Karang-karang ini, bukan bererti pemancing akan dapat memancing selama 4 hari, pemancing hanya akan dapat memancing selama 2 hari 3 malam sahaj , manakala baki 2 hari adalah untuk perjalanan pergi dan balik. Apa yang penulis perhatikan semakin lama trip memancing semakin berubah. Jika awal penglibatan saya sekitar tahun 1997  trip memancing  2 hari 1 malam merupakan trip paling popular kerana kos yang murah, namun makin ramai pemancing-pemancing senior mula berminat dengan trip 3 hari 2 malam  kerana merasakan trip 2 hari 1 malam tidak berbaloi dan sangat singkat dan kini Trip 4 hari 3 malam semakin mendapat perhatian para pemancing.


Masalah di Jeti kapal.

Kawasan kapal-kapal pancing  berlabuh merupakan kawasan tanah persendirian yang sebelum ini hanya merupakan kawasan tempat letak kereta berbayar. Jika sebelum ini kapal-kapal yang membawa para pemancing boleh sampai ke jety sehingga petang namun kini keadaan itu tidak sudah berlaku. Ini kerana bermula tahun 2013, pemilik tanah tersebut telah menjadikan kawasan tempat letak kereta tersebut sebagai medan Pasar Malam dan ini amat menyukarkan pemancing untuk memunggah tong-tong ikan jika sampai di jeti pada sebelah petang. Oleh sebab itulah kapten-kapten kapal pancing terpaksa membawa balik pemancing seawal pagi untuk mengelakkan masalah ini. Ini sebenarnya memberi kerugian kepada para pemancing kerana masa memancing semakin singkat dan sebab itulah makin ramai pemancing memilih untuk trip 4 hari 3 malam agar pemancing dapat memancing dengan tenang dan  tidak kelam kabut, dan kosnya semakin meningkat ari 1 malam merupakan trip paling popular kerana kos yang murah, namun makin ramai pemancing-pemancing senior mula berminat dengan trip 3 hari 2 malam  kerana merasakan trip 2 hari 1 malam tidak berbaloi dan sangat singkat dan kini Trip 4 hari 3 malam semakin mendapat perhatian para pemancing.



  Perjalanan dan ikan sasaran

Perjalanan ke Takat Karang-Karang Atas mengambil masa sekitar 7 jam perjalanan, kami bertolak pada jam 10.30 pagi dan sampai ke spot pertama pada jam 5.30 petang. Sepanjang perjalanan kami menggunakan masa ini untuk berbual-bual sambil menyediakan peralatan pancing. Malah ada yang tidur untuk mencas tenaga. Manakala penulis mengambil kesempatan masa perjalanan ini dengan menurunkan bulu-bulu buatan sendiri untuk memikat ikan Bakulan( Ikan Tongkol ) dan hasilnya penulis berjaya menaikkan seekor ikan bakulan( Tongkol ) dan seekor Ikan Lengkunis ( anak ikan Tuna sirip kuning ). Setiba di takat ini, semua pemancing sudah bersedia untuk menjatuhkan umpan untuk pancing dasar, maklumlah sudah lama menanti. Apabila kapal sudah berlabuh kami berlumba-lumba menjatuhkan umpan namun takat sedalam 89 meter ini tidak berpenghuni. Setelah hampir sejam berlabun akhirnya Tekong membawa kami ke takat ikan Sulit ( Merah Suman ) yang sebenarnya menjadi sasaran kami

Bagi pemancing yang mahir tentang tabiat ikan sulit, tidak menjadi masalah  bagi mereka untuk memancingnya, namun bagi pemancing yang tidak ada pengalaman memancing ikan ini pasti akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkannya. Bagi penulis, usaha untuk menjejaki kedalaman lokasi ikan ini berada memang memerlukan pengalaman,  ketabahan dan kemahiran. Tidak seperti ikan kerisi bali atau ruby  yang suka makan di dasar. Ikan Sulit perlu dikesan lokasinya, ada masanya ia akan makan di kawasan dasar ada kalanya ia akan berada sehingga 20-30 meter di permukaan air. Jika pemancing tidak berjaya mengesan kedudukannya maka kumpaulah pemancing tersebut.

  Jig On malam pertama
Oleh kerana ikan sasaran belum muncul tiba, dan belum ada seorang pemancing pun yang sudah berjaya menaikkan ikan sulit, penulis mengambil keputusan untuk menurunkan jig dengan harapan ikan Tenggiri akan menyambar Jig. Sebaik saja jig 60 gram yang penulis turunkan pada kiraan 50, pada anggaran  sekitar 40-50 meter, hanya dengan sekali henjut jig penulis terus diterkam, kekili Shimano ELF 4000 terus meraung, Joran Takadum PE 1.2 terus melengkung  dan akhirnya seekor ikan cupak seberat 4 kg menjadi habuan penulis. Melihat kejayaan  penulis menaikkan seekor cupak, rakan penulis  iaitu Abang Ahmad terus turut serta menurunkan jig  dan akhirnya beliau mendapat strike namun shock leader 20 lbs yang beliau gunakan tidak dapat bertahan dan akhirnya beliau membuat sambungan baru dengan menggunakan shock leader 50 lbs.

Oleh kerana rakan-rakan yang lain tidak mempunyai set Jigging, maka mereka hanya menjadi penonton apabila penulis berjaya menaikkan  ikan  Cupak kedua  sama dengan saiz dengan hasil yang pertama. Kejayaan ini menguatkan semangat penulis  dan Abang Ahmad untuk meneruskan acara jigging sementara ikan Sulit belum mahu menjamah umpan. Akhirnya Abang Ahmad mendapat strike yang kedua   dan seekor cupak menjadi habuan beliau. Tidak lama selepas itu tiba pula giliran penulis untuk strike yang  ketiga, tentangan strike yang ketiga yang paling sengit dan liar membuatkan tali utama saya berbelit dengan tali pancing Pakcik Dolin, namun tahap kerjasama yang baik antara semua pemancing membuatkan ikan Cupak ke tiga ini berjaya penulis naikkan. Hentaman Cupak yang ketiga ini membuatkan hujung besi tip ring Fuji SIC Xzoga penulis tercabut. Nasiblah penulis ada membawa  sebatang  Xzoga Takadum PE 3 untuk simpanan. Namun rezeki menjig malam ini hanya setakat itu sahaja apabila jig 100g yang saya gunakan dicukai ditengah jalan dan ikan sulit mula menjamah umpan.

 Mengesan Ikan Sulit ( Merah Seman )

Setelah hampir jam 11 malam, barulah ikan sulit pertama berjaya dinaikkan oleh Pakcik Dolin, Ini membuatkan penulis terus berhenti menjig dan terus memasang umpan untuk memancing ikan sulit. Oleh kerana ikan ini kurang galak memakan umpan, ini memberi ruang kepada penulis  untuk mengesan  paras kedudukannya, penulis  menetapkan pada aras 70 meter untuk percubaan pertama selang 10 minit penulis naikkan ke paras 60 meter dan umpan tidak menunggu lama untuk disentap, akhirnya penulis berjaya menaikkan seekor ikan sulit. Manakala dikalangan rakan  hanya pakcik Dolin sahaja yang berjaya menaikkan ikan sulit dengan jayanya, manakala yang lain masih berusaha untuk mengesannya.
 Apabila penulis mendapat strike yang ketiga barulah Abang Hamzah ringan mulut untuk bertanya paras kedalaman yang penulis  gunakan. Penulis nyatakan dengan jujur iaitu pada paras 60 meter, dan akhirnya beliau berjaya menaikkan tiga ekor manakala penulis hanya berjaya menaikkan empat ekor manakala Abang Ahmad dapat menaikkan empat ekor dan  seekor  paling besar  dalam trip ini. Manakala rakan disebelah kiri penulis iaitu saudara Ali hanya berjaya menaikkan seekor setelah diberi tunjuk  ajar teknik mengira kedalaman secara manual oleh penulis. Pada malam ini kesemua kami berjaya menaikkan ikan sasaran ini walaupun ia kurang galak memakan umpan dan Pakcik Dolin menjadi juara kerana berjaya menaikkan lebih dari sepuluh ekor.

 Aksi Siang

Menjelang subuh penulis sudah mula melabuhkan jig, hasilnya beberapa kali miss call penulis  perolehi dan hanya sekali sahaja yang kasar. Apabila matahari semakin meninggi Tekong membawa kami ke Takat Kerisi Bali. Takat ini rata-rata mempunyai kedalaman sekitar 120-135 meter dan sangat sukar untuk menaikkan batu pancing jika menggunakan reel manual. Apa yang jelas aksi di siang hari di takat ini kurang memberangsangkan, hanya kerisi bali kecil-kecil  sahaja yang sudi menjamah umpan manakala Abang Ahmad sangat bernasib baik kerana berjaya menaikkan seekor kerisi bali yang paling besar iaitu 5.8 kg dengan menggunakan Apollo buatan sendiri yang digunakan untuk memancing ikan-ikan kecil. Pada hari kedua, aksi pada siang hari masih juga sama, ikan kurang galak memakan umpan. Walaupun Tekong sentiasa membawa kami ke lubuk-lubuk ikan kerisi Bali, namun hanya kerisi Bali kecil sahaja yang sudi menjamah umpan kami.

 Aksi Malam Kedua, ketiga & jig on

Setelah aksi pada siang hari tidak berapa memberangsangkan, kami berharap keadaan akan berubah pada waktu malam. Seawal jam 7 malam kami sudah berada di takat ikan sulit. Namun belum ada tanda-tanda kehadiran ikan sulit. Hanya sesekali pancing rakan-rakan melentur akibat gurauan sang titir ( Baracudda ). Penulis dengan yakin telah menyatakan dari saiang lagi bahawa kedudukan strike penulis akan berubah apabila malam menjelma.  Kali ini penulis menggunakan Jig aksi malam jenama Ofmer dan dipadankan dengan mata kail Mustad 8/0 untuk mengelakkan miss call berulang lagi. Pilihan penulis memang tepat, setelah berusaha mengesan zon strike akhirnya penulis  mendapat sambaran pertama dan terus hook up. Rod Xzoga Takadum Pe3 dah kekili Khas cap Ayam 4000 tidak bermasalah untuk melawan pecutan ikan cupak ini dan akhirnya cupak seberat 4 kg berjya penulis naikkan. Pada masa yang sama Abang Ahmad juga mula menurunkan Jig yang sama dengan yang penulis gunakan namun belum ada strike yang beliau perolehi. Penulis yang sudah tahu zon strike terus memperolehi strike cupak kedua untuk malam kedua dan seterusnya seekor anak ikan purth sebesar selipar. Ini membuatkan abang Ahmad terus berusaha dan akhirnya beliau memperolehi strike dan seekor cupak 4kg menjadi habuan beliau.

 Laut yang tenang tiba-tiba mula bergelora apabila angin mulai kencang dan membawa hujan. Sedang penulis asik mencari strike, sekitar jam 10.30 malam, pakcik Daulin sudah mula menaikkan ikan sulit, ini membuatkan penulis terus berhenti menjig dan terus ke acara memburu ikan sulit dan semua rakan-rakan terus berusaha untuk mendapatkan Ikan Sulit. Rakan di sebelah kiri penulis iaitu  saudara Ali dan di sebelah kanan Abang Hamzah sentiasa tidak henti-henti menaikkan ikan sulit, manakala saya dan abang Ahmad hanya sesekali sahaja mendapat sentapan ikan sulit. Manakala Pakcik Dolin menjadi juara apabila menaikkan lebih  20 ekor ikan sulit pada malam kedua ini. Sekitar jam 12 kelibat ikan sulit sudah tiada kelihatan lagi. Ini membuatkan penulis masuk tidur kerana kepala mulai pening dan perut mulai bergelora.

 Seawal subah penulis dan Abang Ahmad sudah mula menurunkan jig, abang Ahmad paling awal mendapat strike dan diikuti oleh penulis, akhirnya dua ekor cupak menjadi habuan kami sebelum hari semakin cerah. Selepas itu sekali lagi penulis mendapat strike, kali ini lariannya semakin liar, dan senang di duga dan sangkaan penulis tepat apabila seekor tenggiri menjadi rezeki penulis. Apabila hari semakin meninggi kami terus berpindah lubuk dan namun seperti hari pertama ikan kurang galak memakan umpan. Memandangkan ikan kurang galak memakan umpan, masa ini penulis gunakan untuk berehat dan sekali sekala penulis menurunkan jig dan akhirnya penulis berjaya menaikkan seekor ikan kerisi bali seberat 2.6 kg.

 Apabila hari semakin gelap, penulis dan abang Ahmad mula memburu Cupak, akhirnya  penulis mendapat strike dan ini adalah strike cupak terakhir penulis. Selepas itu sekali lagi saya mendapat strike, namun ikan tulai  yang mengena dan kerana kehadiran ikan tulai, ini membuatkan kami terus menggunakan Apollo dan bermulalah pesta ikan tulai tanpa henti-henti. Seawal jam 4.30 pagi kami mulai bergerak pulang ke jeti dan sekitar jam 11 pagi barulah kami sampai di jeti, kota kinabalu.
 Rumusan.

Kapal-kapal memancing ke laut dalam di kota kinabalu sentiasa mendapat perhatian kepada kaki-kaki pancing seluruh Sabah, malah kaki-kaki pancing dari semenanjung juga sanggup datang ke Kota Kinabalu untuk menduga penghuni perairan Sabah selain itu  pemancing Hong Kong juga kerap menyewa kapal-kapal pancing di sini semata-mata untuk merasai nikmat memancing laut dalam walau pun kekadang hasil yang diperolehi tidak berbaloi dengan kos yang dikeluarkan. Namun, apa yang jelas hasil laut perairan Sabah semakin berkurangan dan ada kalanya lubuk-lubuk yang dulunya terkenal dengan Ruby, Aji-aji, Sulit, Jenahak dan pelbagai lagi semakin kehilangan penghuninya. Bagi penulis, ini bukan kerana ramainya kaki pancing yang datang ke perairan ini, menurut cerita tekong dan pemancing yang sering membuat trip laut dalam kehadiran kapal-kapal haram  dari  Vietnam yang menceroboh dan menunda serta merawai di perairan laut dalam Pantai Barat Sabah ( Laut Labuan & Reef North )adalah antara penyumbang utama permasalahan ini, terutama kawasan yang karang yang jauh dan jarang dipantau.( Kehadiran kapal-kapal Vietnam terbukti apabila 4 orang mangsa bot karam di Kudat di selamatkan oleh kapal Vietnam dan mereka dibawa ke perairan Vietnam )

  Selain itu masalah bom juga masih tidak dapat diatasi oleh pihak berwajib. Bayangkan mereka ada  kapal induk yang boleh membawa bot pengebom dan dilengkapi motor pengepam oksigen untuk penyelam  memungut hasil bom dan ini diceritakan sendiri oleh mangsa  nelayan sesat diperairan pulau Mangalum yang diselamatkan oleh kapal bom ini. Menurut mereka, selama dua hari diselamatkan, mereka sempat lagi melihat cara-cara mereka mengebom ikan di takat laut dalam di perairan pulau mangalum. Operasi menunda ikan yang dilakukan oleh kapal-kapal berdaftar diatas takat juga menjadi penyumbang kepada permasalahan ini.Jika ketiga-tiga masalah besar ini  tidak dapat diatasi, tidak hairan perairan Sabah terutama kawasan terumbu karang di Pantai Barat Sabah akan kehabisan stok ikan yang berqualiti malah terumbu karang juga akan semakin musnah oleh aktiviti pengebom dari kalangan pendatang Filipina ini. Di harap pihak berwajip mengambil langkah drastik untuk mengatasi masalah ini, dan selama 4 hari di laut karang-karang kami tidak terjumpa kelibat pihak berwajib  membuat rondaan untuk memeriksa kapal-kapal yang ada di sana.

GAMBAR GAMBAR HIASAN